Rabu, 11 November 2015

Kesimpulan

Media sosial telah memainkan peranan yang amat penting dalam aktiviti pemasaran sesebuah perniagaan. Dengan adanya media sosial ini, sebuah dimensi baru akan tercipta untuk pemasaran internet sehingga menjadi lebih efektif, efisien dan lebih produktif jika anda mampu mempertahankannya dan mampu mengembangkannya menjadi sebuah media internet marketing yang berkualiti, dan lebih komprehensif untuk menarik pembeli yang berpotensi dan sangat berharga. Malahan kos pengiklanan dalam sosial media juga agak rendah jika dibandingkan dengan kos pengiklanan dalam komersial TV. Ianya akan menjadi percuma apabila dihebahkan di kalangan sahabat kita sendiri. Dari poin ini, kita dapat melihat media sosial sebagai sebuah platform internet yang sangat berguna terutama bagi mereka yang menginginkan pemasaran melalui media internet yang produktif tanpa mempunyai kos yang tinggi untuk dikeluarkan untuk pemasarannya. Penggunaan media sosial menjadi kuasa yang semakin dominan dalam bidang perniagaan pada masa kini. Walaupun teknologi komunikasi ini baru muncul, namun ia mampu menawarkan peluang yang hebat untuk berinteraksi dengan pelanggan dengan cara yang baru dan menarik. Walaupun demikian, terdapat risiko yang besar kepada peniaga-peniaga yang menggunakan teknologi ini tanpa menggunakan strategi yang jelas dalam menghadapi risiko dan juga faedah daripada media ini. Terdapat juga risiko-risiko dan peluang penting yang berpotensi dihadapi oleh mereka yang mempunyai fikiran bahawa mengabaikan revolusi dalam komunikasi ini adalah cara yang sesuai untuk mengelakkan risiko yang bakal dihadapi. Satu-satunya pendekatan yang berdaya maju adalah setiap perniagaan perlu melibatkan semua pihak berkepentingan yang berkaitan untuk mewujudkan strategi dan dasar-dasar berkaitan bagi menangani isu-isu yang berkaitan.

Faktor-Faktor Pendorong Penggunaan Media Sosial



  •  Interaksi secara langsung dengan pelanggan
Terdapat juga perniagaan yang menggunakan media sosial yang menyediakan ruangan khidmat pelanggan mereka. Interaksi dengan pelanggan adalah perkara yang penting dalam apa jua perniagaan dan setiap maklumbalas daripada mereka akan meningkatkan lagi kepercayaan pelanggan lain dengan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Dengan cara ini, mereka boleh memberikan khidmat yang lebih cepat malah dapat mengeratkan lagi hubungan dengan pembeli mereka yang sedia ada. Pelanggan akan memberi maklum balas yang positif untuk perkhidmatan yang memuaskan dan begitu juga sebaiknya. Seperti yang kita sedia maklum, maklum balas dalam media massa memainkan peranan penting dalam sesebuah perniagaan memandangkan ianya dapat dibaca oleh pembaca maka maklum balas yang positif akan menarik lebih ramai pelanggan baru manakala maklum balas yang negatif pula sebaliknya. Maklumat yang diperolehi daripada maklum balas ini akan digunakan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan prestasi mereka sendiri sebagai seorang usahawan dan perniagaan mereka. Itulah sebabnya mengapa media sosial ini memainkan peranan yang sangat penting dalam pemasaran masa kini.

  • Tempat untuk meluaskan pemasaran
Media Sosial juga menjadi tempat untuk meluaskan pemasaran yang efektif kerana kemudahan internet itu sendiri yang kini manfaatnya boleh dinikmati oleh berbagai kalangan masyarakat tanpa mengira peringkat umur. Sebagai contoh, apabila kita membuka tapak jualan ataupun kedai, pelanggan akan tertarik kepada orang ramai yang berkumpul di kawasan kita berniaga. Ini juga sama berlaku kepada perniagaan di media sosial di mana pembaca akan tertarik kepada “page” yang mendapat sambutan yang mengalakkan malah mereka akan terus memberi perhatian sepenuhnya apabila terdapat pelanggan yang membeli produk yang sama berulang-kali dari peniaga yang sama.

  •  Meminimakan kos pengiklanan
Meminimakan kos pengiklanan merupakan di antara faktor-faktor pendorong penggunaan media sosial. Jika dulu syarikat-syarikat besar sahaja yang berkemampuan menggunakan media sosial sebagai strategi pemasaran namun pada hari ini, iklan dan promosi dari peniaga-peniaga kecil juga turut menghiasi laman media sosial sekarang. Tidak dinafikan lagi bahawa mereka dapat mengurangkan kos pengiklanan mereka jika dibandingkan dengan cara pemasaran lain selain media sosial. Banyak perniagaan besar dan terkenal telah memanfaatkan media sosial sebagai media publisiti untuk memperkenalkan produk mereka. Contohnya melalui penggunaan Facebook kerana usahawan sedar akan pengguna Facebook yang sangat ramai dan ini memudahkan lagi aktiviti pemasaran.

  • Proses penyebaran informasi dan maklumat menjadi lebih mudah

Dengan kemudahan media sosial, proses penyebaran informasi dan maklumat menjadi lebih mudah kerana pemilik media massa tersebut hanya perlu membuat artikel, tulisan, gambar, video, atau apa jua bentuk informasi dan meletakkannya di media sosial tertentu seperti forum online yang dapat mewujudkan medium komunikasi di antara ahli forum yang lain.

Cabaran & Halangan Penggunaan Media Sosial Di Malaysia

~ Masalah Keselamatan ~

Masalah keselamatan juga menjadi isu dalam penggunaan media sosial. Ini kerana orang lain dapat mengakses masuk ke dalam data kita tanpa kebenaran kita. Kita seringkali mendengar Facebook dipecah masuk oleh penggodam yang tidak berpuas hati atau yang mempunyai niat yang tidak baik. Usahawan seharusnya sentiasa dalam keadaan peka dengan maklumat syarikatnya lebih-lebih lagi jika menggunakan media sosial sebagai pemasaran produk dan perkhidmatan mereka. Serangan mungkin akan berlaku akibat suka-suka ataupun sabotaj daripada pesaing mereka. Malahan gosip dan fitnah juga akan tersebar tanpa kawalan dan sekaligus akan memberi imej buruk kepada usahawan dan perniagaan. Sekarang dengan jari sahaja, pelbagai anasir buruk dan kritikan yang mampu menjatuhkan kredibiliti sesorang usahawan akan disebarkan dalam media sosial. Kerana kecanggihan media sosial yang boleh diakses pada bila-bila masa, maklumat salah akan disebarkan dan tersebar dalam tempoh yang singkat dan adalah sukar untuk mengawalnya jika sudah tersebar.

~ Gaya Pengiklanan ~

Kita juga berfikir bahawa proses perniagaan adalah mudah untuk dilakukan melalui media sosial adalah mudah dimana mereka hanya meninggalkan pautan atau “link” untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka. Namun mereka bukan sahaja akan digelar spammer malah akan kehilangan pengikut mereka. Sesetengah usahawan dan ahli perniagaan juga akan dinasihatkan oleh pakar IT untuk mendapatkan alat pengurusan media sosial yang melibatkan kos yang tinggi tetapi gagal untuk menggunakannya untuk mendapatkan hasil keuntungan yang memberansangkan ke atas pelaburan mereka. Usahawan juga perlu mengupah sekumpulan pekerja yang mahir dalam proses penggunaan media sosial. Ini akan menyebabkan perbelanjaan yang tinggi. Malahan usahawan juga akan membelanjakan keuntungan untuk mendapatkan lebih banyak sambutan daripada pelanggan. 90% kejayaan perniagaan adalah adalah bergantung kepada kepada gaya pengiklanan yang berkesan dan berterusan.

~ Kes-kes penipuan berbentuk kewangan ~

Selain daripada kesahihah maklumat, kita juga seringkali membaca dan mendengar kes-kes penipuan berbentuk kewangan. Penipuan ini telah semakin merebak dan semakin ramai yang menjadi mangsa penipuan. Pada masa sekarang, kita jarang mendapat perkhidmatan “cash delivery” yang menuntut pembayaran apabila barang sampai ke destinasi kita. Kebanyakkan perniagaan yang dilakukan sekarang melakukan transaksi pemindahan wang secara talian dan apabila mereka mendapat barangan yang tidak berkualiti adalah sukar bagi mereka untuk menuntut ganti rugi atau mengambil balik wang mereka. Malahan ada di kalangan mereka yang melarikan diri apabila mendapat wang dan meninggalkan pelanggan terkapai-kapai tanpa sebarang jawapan. Sekurang-kurangnya jika pelanggan datang sendiri ke premis perniagaan dan memilih sendiri barangan yang berkualiti dan memuaskan, kes-kes penipuan ini dapat dielakkan.  
  
~ Masa yang diluangkan ~

Para usahawan juga tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk melayari media sosial. Menurut Perniagaan Insider, Amerika menghabiskan sekurang-kurangnya 37 minit pada media sosial setiap hari dan tempoh jangkamasa tersebut akan sentiasa berubah mengikut bidang industri yang diceburi. Untuk perniagaan yang baru berkembang, kekangan masa adalah antara cabaran yang akan dihadapi oleh usahawan. Mereka akan menghabiskan masa di antara 8 sehingga 14 jam sehari di media sosial untuk mempromosi dan memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru menceburi bidang perniagan dalam media sossal dan menguruskan pelbagai bidang platform.

~ Keperluan untuk menganalisis strategi setiap masa ~

Sesungguhnya untuk melakukan pemasaran yang berkesan melalui media sosial memerlukan memerlukan penyediaan, pelan, dengan jadual yang betul dan kandungan yang baik untuk dikongsikan bersama. Jika seseorang usahawan itu tidak mempunyai pelan dan strategi yang berkesan untuk memperkembangkan perniagaannya, dia akan mendapat pulangan atau hasil yang kurang memuaskan. Seseorang usahawan juga perlu menganalisis strategi media sosial mereka pada setiap bulan dan meminda dan mengubah suai strategi untuk memenuhi permintaan pasaran terkini. Ini bukan tugas yang mudah apabila perubahan teknologi  yang berlaku sangat pantas. Mereka juga harus mempertimbangkan waktu mereka membuat pengiklanan dan promosi jika pelanggan mereka dari zon waktu yang berlainan. Untuk itu, setiap usahawan perlu menghadiri seminar atau kursus usahawan internet yang sentiasa dianjurkan oleh pakar-pakar internet. 

~ Kesahihan maklumat ~

Namun masih terdapat cabaran dan halangan penggunaan media sosial di Malaysia. Antaranya ialah kesahihan sesuatu maklumat. Maklumat yang tepat dan sahih adalah penting bagi menjamin tidak berlaku penyelewengan maklumat dan sekaligus mengelakkan penganiayaan pelanggan. Pihak yang tidak bertanggungjawab akan memberi maklumat palsu semata-mata untuk menarik perhatian pelanggan tetapi maklumat yang diberi tidak sama seperti yang diuar-uarkan dalam media sosial. Saban hari terdapat ramai pelanggan yang tertipu apabila mendapat produk tiruan setelah membayar dengan harga yang tinggi atau mendapat barangan yang lain seperti yang dilihat dalam media sosial. Ini menyebabkan ramai pelanggan berasa was-was untuk membeli dan ini sekaligus akan memberi kesan kepada usahawan yang menjalankan perniagaan dengan jujur. Keadaan ini umpama kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Tahap Penggunaan Media Sosial Dalam Perniagaan Di Malaysia

Penggunaan media sosial dalam perniagaan di Malaysia masih lagi berada pada tahap yang rendah dan di peringkat awal perkembangan (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia [SKMM]) sedangkan kebanyakan negara lain telah mula menggunakan dan mengamalkan media sosial dalam urusan kerja dan kehidupan seharian. Walaupun ia tidak begitu, penggunaan media sosial dalam perniagaan di Malaysia menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan saban tahun.

Menurut Laporan Prestasi Industri 2013 yang diterbitkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), terdapat 19.2 juta pengguna internet di Malaysia, dan 15.6 juta daripada mereka aktif dalam Facebook. Rakyat Malaysia menggunakan purata lima jam sehari melayari internet, dan tiga daripada lima jam itu digunakan untuk media sosial.
Berikut beberapa angka menarik daripada laporan itu;

  • Jumlah pengguna internet di Malaysia berjumlah 19,200,408 orang.
  • Terdapat 15,600,000 pengguna Facebook yang aktif di Malaysia.
  • Purata masa digunakan pengguna internet di Malaysia setiap hari ialah 5 jam 36 minit.
  • Purata masa digunakan oleh pengguna media sosial di Malaysia untuk media sosial ialah 3 jam 17 minit.
  • Peratus pengguna media sosial daripada jumlah populasi Malaysia ialah 64%

Penggunaan Media Sosial Dalam Perniagaan Secara Global

Perniagaan menggunakan media sosial telah membuka peluang yang lebih luas kepada para usahawan untuk memperkenalkan dan mempromosikan produk atau perkhidmatan secara meluas samada di dalam atau luar negara. Pemasaran menggunakan media sosial merupakan salah satu teknik yang sangat membantu untuk usahawan-usahawan yang ingin memasarkan produk mereka dengan lebih meluas lagi. Dengan menggunakan media sosial sebagai aktiviti pemasaran, usahawan boleh mendapat pelanggan baru yang berpotensi dengan lebih mudah dan mereka juga akan dapat meningkatkan jualan kerana lebih ramai lagi orang akan tahu mengenai produk mereka. Bukan untuk pasaran tempatan sahaja, malah pasaran antarabangsa juga boleh didapati dengan adanya media sosial ini. Dengan kebolehan media sosial yang boleh diakses di mana sahaja tanpa batasan waktu dan tempat menyebabkan hampir semua industri dengan berbagai jenama besar telah menggunakan media sosial sebagai pemasaran mereka. Ini adalah kerana mereka sedar bahawa media sosial adalah antara cara pemasaran yang terbaik pada zaman ini. Sebagai contoh, usahawan akan mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka melalui aplikasi Instagram di mana pengguna atau pelanggan hanya menggunakan “hashtag” produk yang mereka yang kehendaki dan dalam masa satu saat pelbagai pilihan akan keluar dan pelanggan boleh mencari dan memilih produk yang dikehendaki.




Penggunaan media sosial dalam perniagaan kini telah berkembang dan menjadi perhatian terutama dalam industri yang melibatkan perdagangan, perniagaan, pelaburan, perbankan, dan sebagainya. Malaysia telah dikenal pasti sebagai sebuah negara yang berpotensi tinggi dan memiliki prospek yang baik untuk mengimplementasikan media sosial dalam perniagaan di Asia Tenggara. Media sosial dalam perniagaan juga dijangka menjadi model ikutan bagi negara yang sedang membangun khususnya dalam mengimplementasikan dan mempraktikkan kecanggihan media sosial serta merancakkan pertumbuhan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam masa yang akan datang.



Kepentingan Media Sosial Dalam Perniagaan

Media sosial merupakan aplikasi internet yang terbaik untuk digunakan oleh peniaga terutama usahawan-usahawan industri kecil dan sederhana bagi menjalankan aktiviti pemasaran. Menurut Kim dan Ko (2012), media sosial mampu mengecilkan serta menutup jurang di antara strategi yang telah dirancang dan perlaksanaan strategi yang akan dilaksanakan. Pemasaran secara atas talian menggunakan aplikasi media sosial mampu menyediakan satu platform baru dan baik kepada peniaga terutama peniaga kecil. Sehubungan dengan itu, kebolehan menggunakan teknologi ini amat penting supaya dapat memperkasakan sesebuah perniagaan.

Terdapat dua kepentingan utama menggunakan laman sosial dalam perniagaan. Melalui media sosial, jualan akan menjadi lebih mudah dilaksanakan apabila terdapat banyak ‘potential customer’. Dimana banyak orang, di situ banyak peluang jualan akan berlaku. Oleh itu, peniaga perlu membuat pemilihan media sosial yang mempunyai pengguna yang ramai supaya jualannya mudah dilihat oleh lebih ramai bakal pembeli.



~Kerja pencarian maklumat dan data semakin mudah dan terkini 

Seperti yang kita sedia maklum, setiap usahawan sentiasa inginkan kejayaan dalam setiap bidang yang diceburi. Namun tidak dapat dinafikan, ada juga dikalangan mereka yang gagal mencapai matlamat yang disasarkan. Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, seseorang itu perlulah mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam bidang yang diceburi dan bukannya hanya sembarangan sahaja melakukan sebarang aktiviti perniagaan tanpa memikirkan segala risiko yang akan dihadapi. Ilmu pengetahuan tersebut diperolehi samada daripada pengalaman sendiri, ilmu yang dipelajari, pembacaan ataupun daripada pemerhatian daripada pengalaman orang lain. Dengan ini mereka sentiasa mencari dan peka dengan maklumat terkini daripada media sosial. Dengan penggunaan media sosial, kerja pencarian maklumat dan data semakin mudah dan terkini. Pada masa kini, kita dapat lihat pelbagai laman web telah dicipta untuk memberi penerangan tentang sesuatu perniagaan, apa yang perlu dilakukan dan larangan dalam menjalankan perniagaan. Usahawan juga boleh berkongsi pengalaman mereka bersama dengan usahawan lain dan ini dapat memberi gambaran dan teladan usahawan lain yang ingin menceburi bidang yang sama dan pada masa yang sama dapat memberi dorongan dan semangat kepada mereka untuk melakukan perniagaan tersebut. Malahan dalam Facebook juga kita dapat melihat usahawan yang berjaya seperti Dr. Azizan Osman yang pada mulanya seorang ahli perniagaan yang kecundang dalam bisnes yang dijalani sehingga menyebabkan beliau kerugian wang berjuta-juta. Namun beliau tidak pernah putus asa dan bangkit semula dan berkongsi pengalamannya kepada usahawan yang lain tidak kira yang sudah lama atau baru berkecimpung dalam perniagaan. Dari sini kita dapat melihat peranan media sosial dalam membangkitkan semangat usahawan lain untuk berjaya dalam perniagaan yang diceburi.


~Untuk memperbaiki dan mempertingkatkan pencapaian prestasi usahawan dan syarikat

Dengan maklumat yang diperolehi, usahawan juga dapat menggunakannya untuk memperbaiki dan mempertingkatkan lagi pencapaian prestasi usahawan itu sendiri dan syarikat mereka. Usahawan juga dapat bertukar-tukar pendapat, maklumat, dan produk sesama usahawan atau pihak lain yang berkepentingan. Selain itu, usahawan juga boleh menghubungi sesiapa sahaja seperti kenalan, pembekal, pengedar, pelanggan dan lain-lain untuk bertanya atau mendapatkan maklumat mengenai perniagaan, peluang-peluang perniagaan dan sebagainya. Sebagai contoh penggunaan Internet Explorer dan Google untuk menghantar e-mail dengan pantas, jimat dan boleh dilakukan dimana sahaja selagi terdapat akses internet. Penggunaan Skype yang merupakan sebuah perisian komunikasi percuma yang membolehkan pengguna membuat panggilan, menghantar mesej secara segera dan melakukan panggilan video dalam talian walaupun mereka berada pada jarak beribu batu. Selain untuk panggilan, Skype juga dapat digunakan untuk berbual (chatting), kirim SMS, persidangan, pemindahan maklumat, panggilan suara hingga Call Forward. 


~Mempermudahkan urusan yang penting 

Penggunaan media sosial dalam perniagaan juga mempermudahkan lagi segala urusan yang penting seperti untuk mendapatkan pelbagai maklumat daripada pelbagai perniagaan, urusan perbankan yang melibatkan jumlah wang yang besar dan pencarian pembekal yang boleh menawarkan produk atau perkhidmatan yang paling rendah. Ada di sesetengah organisasi kerajaan dan swasta akan melambatkan lagi sesuatu proses yang penting. Sebagai contoh, jika kita hendak membuat panggilan untuk bertanyakan sebarang maklumat, kadang-kadang panggilan kita tidak dijawab atau talian sibuk kerana banyak panggilan masuk. Sama juga seperti kita pergi ke organisasi tersebut, ianya akan memerlukan perbelanjaan untuk minyak dan tol selain membazir masa. Bagaimana pula jika organisasi atau pusat perniagaan itu jauh dari tempat kita? Dengan penciptaan media sosial, segala maklumat akan dimuat turun ke dalam laman web dan pelanggan atau pengguna dapat mengakses maklumat tersebut dalam masa yang singkat. Begitu juga jika pembelian atau penjualan dalam sesebuah perniagaan melibatkan kos yang tinggi, mereka hanya melakukan transaksi bank dalam talian seperti CimbClicks, Maybank2U dan PayPal yang boleh dilakukan pada bila-bila masa. Jika dahulu kita perlu beratur panjang untuk membeli barang, sekarang dengan beberapa klik sahaja barang tersebut akan sampai di tempat kita tanpa perlu kita beratur panjang, bersesak mencari barang, mencari kawasan letak kereta dan kepenatan berjalan. Semuanya berada di hujung jari kita. Ini akan menyebabkan perniagaan dan perkhidmatan usahawan akan melonjak naik kerana penggunaan media sosial yang memudahkan segala urusan perniagaan mereka.


~Untuk mendapatkan maklum balas daripada pelanggan 

Selain daripada itu, usahawan juga memerlukan media sosial dalam perniagaan mereka untuk mendapatkan maklum balas daripada pelanggan mereka. Dengan mencari maklum balas daripada pelanggan atau pengguna, usahawan dapat mengetahui prestasi dan pencapaian usaha mereka dalam mengendalikan perniagaan mereka. Setiap laman web mahupun Facebook dapat dilihat pelbagai testimoni daripada pelanggan yang telah mengguna produk usahawan mereka. Maklum balas dalam media sosial memainkan peranan penting dalam sesebuah perniagaan memandangkan ianya dapat dibaca oleh pembaca lain maka maklum balas yang positif akan menarik lebih ramai pelanggan baru manakala maklum balas yang negatif pula menyebabkan kehilangan pelanggan yang sedia ada. Maklumat yang diperolehi daripada maklum balas ini akan digunakan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan prestasi mereka sendiri sebagai seorang usahawan dan perniagaan mereka. Dengan ini, usahawan yang berjaya diibaratkan sebagai pendengar yang baik kerana mengambil tindakan pantas daripada maklum balas pelanggan mereka. Dengan maklum balas ini juga, usahawan dapat belajar dari kegagalan dan kesilapan mereka. Tanpa pelanggan, usahawan itu tidak akan berjaya mencapai matlamatnya dalam mengembangkan perniagaannya dalam setiap bidang yang diceburi. 

Sejarah & Evolusi Media Sosial



Menurut Andreas Kaplan dan Michael Haenlein, media sosial didefinisikan sebagai sebuah kumpulan aplikasi berasaskan internet yang membangun atas dasar ideologi dan teknologi Web 2.0 dan yang membolehkan penciptaan dan pertukaran. Sejajar dengan definisi ini, kita dapat tafsirkan media sosial merupakan satu platform yang digunakan bersama dengan sambungan internet untuk mengakses sebarang maklumat. Kita masih lagi boleh menggunakan media sosial tanpa internet tetapi kita akan mendapat akses yang terbatas dan ini akan menyukarkan proses mencari maklumat . Dengan adanya internet, kita dapat mengakses sebarang maklumat yang kita hendaki dari seluruh pelosok dunia tanpa had. Selari dengan kemajuan teknologi, media sosial telah mempermudahkan lagi segala urusan harian manusia. Oleh itu, pelbagai langkah dan inisiatif telah dilakukan oleh kerajaan untuk mempertingkatkan lagi kualiti dan mutu media sosial untuk kebaikan sejagat.

Media sosial wujud pada tahun 1978 dari penemuan sistem papan buletin, yang dapat membolehkan kita untuk memuat naik, atau memuat turun maklumat, boleh berkomunikasi dengan mengunakan surat elektronik yang mana internet bersambung dengan talian telefon dengan modem. Sistem papan buletin ini dijumpai oleh Ward Christensen dan Randy Suess dimana kedua-duanya merupakan pencinta dunia komputer. Perkembangan sosial media pertaman kali dilakukan melalui penghantaran surat elektronik pertama oleh penyelidik ARPA (Advanced Research Project Agency) pada tahun 1971. Berikut merupakan evolusi media sosial yang bermula pada tahun 1995 sehingga ke hari ini.

1995:  Kelahiran laman GeoCities. Laman ini melayani Web Hosting iaitu perkhidmatan sewa simpanan data - data website agar laman website tersebut boleh diakses di mana sahaja, dan kemunculan GeoCities ini menjadi pemacu kepada kewujudan website - website lain.

1997:  Muncul laman jejaring sosial pertama iaitu Sixdegree.com walaupun sebenarnya pada tahun 1995 terdapat tapak Classmates.com yang juga merupakan laman jejaring sosial namun, Sixdegree.com dianggap lebih popular kerana menawarkan sebuah laman jejaring sosial berbanding Classmates.com.

1999:  Muncul tapak untuk membuat blog peribadi, iaitu Blogger. Laman web ini menawarkan pengguna untuk boleh membuat laman web sendiri. Pengguna Blogger ini boleh memuatkan apa-apa perkara dalam blog mereka termasuk hal peribadi atau mungkin luahan atau kritikan tentang seseorang atau sesuatu misalnya kerajaan. Blogger merupakan titik tolak berkembangnya media sosial yang lain.

2002: Penubuhan Friendster, laman rangkaian sosial yang pada masa itu menjadi ledakan, dan kewujudannya yang luar biasa.

2003: Penubuhan LinkedIn, bukan setakat berguna untuk bersosial, LinkedIn juga berguna untuk mencari pekerjaan, sehingga menjadikan fungsi sebuah media sosial semakin berkembang.

2003: Penubuhan MySpace, MySpace menawarkan pelbagai kemudahan dalam menggunakannya sehingga Myspace dikatakan laman jejaring sosial yang friendly-user.

2004: Lahirnya Facebook, laman rangkaian sosial yang terkenal hingga hari ini, merupakan salah satu laman rangkaian sosial yang mempunyai keahlian terbanyak.

2006: Lahirnya Twitter, laman rangkaian sosial yang berbeza dengan yang lain kerana pengguna Twitter hanya boleh mengemaskini status atau yang bernama Tweet ini yang hanya di hadkan 140 karakter.

2007: Lahirnya Wiser, laman jaringan sosial pertama sekali dilancarkan bertepatan dengan peringatan Hari Bumi (22 April 2007). Laman ini diharapkan dapat menjadi sebuah direktori online organisasi alam sekitar seluruh dunia termasuk pergerakan alam sekitar sama ada yang dilakukan oleh individu mahupun kelompok lain.

2011:   Lahirnya Google+ (Googleplus), google melancarkan laman jejaring sosial yang bernama google +, namun pada awal pelancaran, google+ hanya terbatas pada orang yang telah dijemput oleh Google. Selepas itu google+ di lancarkan secara umum.

Pengenalan

Pada era kemodenan sekarang, media massa atau media sosial tidak asing bagi kita memandangkan penggunaannya yang meluas dalam kehidupan seharian kita. Media sosial menjadi pilihan utama semua golongan masyarakat tanpa mengenal usia, latar belakang dan sebagainya menggantikan media bercetak. Sebelum wujudnya media sosial, media bercetak seperti surat khabar, majalah dan buku telah digunakan untuk menyebarkan maklumat kepada pembaca. Tidak dinafikan media bercetak masih lagi digunakan pada masa sekarang tetapi media sosial tetap menjadi pilihan utama kita dalam mendapatkan pelbagai maklumat memandangkan kita boleh mendapat semua maklumat yang kita perlukan tanpa mengira tempat dan masa dalam media sosial.