Rabu, 11 November 2015

Penggunaan Media Sosial Dalam Perniagaan Secara Global

Perniagaan menggunakan media sosial telah membuka peluang yang lebih luas kepada para usahawan untuk memperkenalkan dan mempromosikan produk atau perkhidmatan secara meluas samada di dalam atau luar negara. Pemasaran menggunakan media sosial merupakan salah satu teknik yang sangat membantu untuk usahawan-usahawan yang ingin memasarkan produk mereka dengan lebih meluas lagi. Dengan menggunakan media sosial sebagai aktiviti pemasaran, usahawan boleh mendapat pelanggan baru yang berpotensi dengan lebih mudah dan mereka juga akan dapat meningkatkan jualan kerana lebih ramai lagi orang akan tahu mengenai produk mereka. Bukan untuk pasaran tempatan sahaja, malah pasaran antarabangsa juga boleh didapati dengan adanya media sosial ini. Dengan kebolehan media sosial yang boleh diakses di mana sahaja tanpa batasan waktu dan tempat menyebabkan hampir semua industri dengan berbagai jenama besar telah menggunakan media sosial sebagai pemasaran mereka. Ini adalah kerana mereka sedar bahawa media sosial adalah antara cara pemasaran yang terbaik pada zaman ini. Sebagai contoh, usahawan akan mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka melalui aplikasi Instagram di mana pengguna atau pelanggan hanya menggunakan “hashtag” produk yang mereka yang kehendaki dan dalam masa satu saat pelbagai pilihan akan keluar dan pelanggan boleh mencari dan memilih produk yang dikehendaki.




Penggunaan media sosial dalam perniagaan kini telah berkembang dan menjadi perhatian terutama dalam industri yang melibatkan perdagangan, perniagaan, pelaburan, perbankan, dan sebagainya. Malaysia telah dikenal pasti sebagai sebuah negara yang berpotensi tinggi dan memiliki prospek yang baik untuk mengimplementasikan media sosial dalam perniagaan di Asia Tenggara. Media sosial dalam perniagaan juga dijangka menjadi model ikutan bagi negara yang sedang membangun khususnya dalam mengimplementasikan dan mempraktikkan kecanggihan media sosial serta merancakkan pertumbuhan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam masa yang akan datang.