Rabu, 11 November 2015

Kepentingan Media Sosial Dalam Perniagaan

Media sosial merupakan aplikasi internet yang terbaik untuk digunakan oleh peniaga terutama usahawan-usahawan industri kecil dan sederhana bagi menjalankan aktiviti pemasaran. Menurut Kim dan Ko (2012), media sosial mampu mengecilkan serta menutup jurang di antara strategi yang telah dirancang dan perlaksanaan strategi yang akan dilaksanakan. Pemasaran secara atas talian menggunakan aplikasi media sosial mampu menyediakan satu platform baru dan baik kepada peniaga terutama peniaga kecil. Sehubungan dengan itu, kebolehan menggunakan teknologi ini amat penting supaya dapat memperkasakan sesebuah perniagaan.

Terdapat dua kepentingan utama menggunakan laman sosial dalam perniagaan. Melalui media sosial, jualan akan menjadi lebih mudah dilaksanakan apabila terdapat banyak ‘potential customer’. Dimana banyak orang, di situ banyak peluang jualan akan berlaku. Oleh itu, peniaga perlu membuat pemilihan media sosial yang mempunyai pengguna yang ramai supaya jualannya mudah dilihat oleh lebih ramai bakal pembeli.



~Kerja pencarian maklumat dan data semakin mudah dan terkini 

Seperti yang kita sedia maklum, setiap usahawan sentiasa inginkan kejayaan dalam setiap bidang yang diceburi. Namun tidak dapat dinafikan, ada juga dikalangan mereka yang gagal mencapai matlamat yang disasarkan. Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, seseorang itu perlulah mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam bidang yang diceburi dan bukannya hanya sembarangan sahaja melakukan sebarang aktiviti perniagaan tanpa memikirkan segala risiko yang akan dihadapi. Ilmu pengetahuan tersebut diperolehi samada daripada pengalaman sendiri, ilmu yang dipelajari, pembacaan ataupun daripada pemerhatian daripada pengalaman orang lain. Dengan ini mereka sentiasa mencari dan peka dengan maklumat terkini daripada media sosial. Dengan penggunaan media sosial, kerja pencarian maklumat dan data semakin mudah dan terkini. Pada masa kini, kita dapat lihat pelbagai laman web telah dicipta untuk memberi penerangan tentang sesuatu perniagaan, apa yang perlu dilakukan dan larangan dalam menjalankan perniagaan. Usahawan juga boleh berkongsi pengalaman mereka bersama dengan usahawan lain dan ini dapat memberi gambaran dan teladan usahawan lain yang ingin menceburi bidang yang sama dan pada masa yang sama dapat memberi dorongan dan semangat kepada mereka untuk melakukan perniagaan tersebut. Malahan dalam Facebook juga kita dapat melihat usahawan yang berjaya seperti Dr. Azizan Osman yang pada mulanya seorang ahli perniagaan yang kecundang dalam bisnes yang dijalani sehingga menyebabkan beliau kerugian wang berjuta-juta. Namun beliau tidak pernah putus asa dan bangkit semula dan berkongsi pengalamannya kepada usahawan yang lain tidak kira yang sudah lama atau baru berkecimpung dalam perniagaan. Dari sini kita dapat melihat peranan media sosial dalam membangkitkan semangat usahawan lain untuk berjaya dalam perniagaan yang diceburi.


~Untuk memperbaiki dan mempertingkatkan pencapaian prestasi usahawan dan syarikat

Dengan maklumat yang diperolehi, usahawan juga dapat menggunakannya untuk memperbaiki dan mempertingkatkan lagi pencapaian prestasi usahawan itu sendiri dan syarikat mereka. Usahawan juga dapat bertukar-tukar pendapat, maklumat, dan produk sesama usahawan atau pihak lain yang berkepentingan. Selain itu, usahawan juga boleh menghubungi sesiapa sahaja seperti kenalan, pembekal, pengedar, pelanggan dan lain-lain untuk bertanya atau mendapatkan maklumat mengenai perniagaan, peluang-peluang perniagaan dan sebagainya. Sebagai contoh penggunaan Internet Explorer dan Google untuk menghantar e-mail dengan pantas, jimat dan boleh dilakukan dimana sahaja selagi terdapat akses internet. Penggunaan Skype yang merupakan sebuah perisian komunikasi percuma yang membolehkan pengguna membuat panggilan, menghantar mesej secara segera dan melakukan panggilan video dalam talian walaupun mereka berada pada jarak beribu batu. Selain untuk panggilan, Skype juga dapat digunakan untuk berbual (chatting), kirim SMS, persidangan, pemindahan maklumat, panggilan suara hingga Call Forward. 


~Mempermudahkan urusan yang penting 

Penggunaan media sosial dalam perniagaan juga mempermudahkan lagi segala urusan yang penting seperti untuk mendapatkan pelbagai maklumat daripada pelbagai perniagaan, urusan perbankan yang melibatkan jumlah wang yang besar dan pencarian pembekal yang boleh menawarkan produk atau perkhidmatan yang paling rendah. Ada di sesetengah organisasi kerajaan dan swasta akan melambatkan lagi sesuatu proses yang penting. Sebagai contoh, jika kita hendak membuat panggilan untuk bertanyakan sebarang maklumat, kadang-kadang panggilan kita tidak dijawab atau talian sibuk kerana banyak panggilan masuk. Sama juga seperti kita pergi ke organisasi tersebut, ianya akan memerlukan perbelanjaan untuk minyak dan tol selain membazir masa. Bagaimana pula jika organisasi atau pusat perniagaan itu jauh dari tempat kita? Dengan penciptaan media sosial, segala maklumat akan dimuat turun ke dalam laman web dan pelanggan atau pengguna dapat mengakses maklumat tersebut dalam masa yang singkat. Begitu juga jika pembelian atau penjualan dalam sesebuah perniagaan melibatkan kos yang tinggi, mereka hanya melakukan transaksi bank dalam talian seperti CimbClicks, Maybank2U dan PayPal yang boleh dilakukan pada bila-bila masa. Jika dahulu kita perlu beratur panjang untuk membeli barang, sekarang dengan beberapa klik sahaja barang tersebut akan sampai di tempat kita tanpa perlu kita beratur panjang, bersesak mencari barang, mencari kawasan letak kereta dan kepenatan berjalan. Semuanya berada di hujung jari kita. Ini akan menyebabkan perniagaan dan perkhidmatan usahawan akan melonjak naik kerana penggunaan media sosial yang memudahkan segala urusan perniagaan mereka.


~Untuk mendapatkan maklum balas daripada pelanggan 

Selain daripada itu, usahawan juga memerlukan media sosial dalam perniagaan mereka untuk mendapatkan maklum balas daripada pelanggan mereka. Dengan mencari maklum balas daripada pelanggan atau pengguna, usahawan dapat mengetahui prestasi dan pencapaian usaha mereka dalam mengendalikan perniagaan mereka. Setiap laman web mahupun Facebook dapat dilihat pelbagai testimoni daripada pelanggan yang telah mengguna produk usahawan mereka. Maklum balas dalam media sosial memainkan peranan penting dalam sesebuah perniagaan memandangkan ianya dapat dibaca oleh pembaca lain maka maklum balas yang positif akan menarik lebih ramai pelanggan baru manakala maklum balas yang negatif pula menyebabkan kehilangan pelanggan yang sedia ada. Maklumat yang diperolehi daripada maklum balas ini akan digunakan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan prestasi mereka sendiri sebagai seorang usahawan dan perniagaan mereka. Dengan ini, usahawan yang berjaya diibaratkan sebagai pendengar yang baik kerana mengambil tindakan pantas daripada maklum balas pelanggan mereka. Dengan maklum balas ini juga, usahawan dapat belajar dari kegagalan dan kesilapan mereka. Tanpa pelanggan, usahawan itu tidak akan berjaya mencapai matlamatnya dalam mengembangkan perniagaannya dalam setiap bidang yang diceburi.